Tangisan temukan bayi hilang kereta jatuh gaung

BENTONG: Detik cemas sepasang suami isteri kehilangan bayi lelaki selepas tercampak dari kereta dinaiki yang terjatuh ke dalam gaung di sini, malam tadi, berakhir apabila tangisan anak mereka itu membawa kepada penemuannya.

Dalam kemalangan di Kilometer 64 Lebuh Raya Karak kira-kira jam 9 malam itu, Rayyan Al Rizqi Mohd Azmi berusia empat bulan, dikatakan tercampak dari Mitsubishi Lancer yang terjatuh ke dalam gaung ketika dipangku ibunya.

Nahas berlaku apabila kenderaan dinaiki Mohd Azmi Abdullah, 41, bersama isteri, Sayang Nur Basirah Nasrudin, 28, dan bayi mereka itu dipercayai terbabas akibat jalan licin berikutan hujan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.12 malam.

Susulan itu, katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong serta Karak dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi terbabit, kami mendapati kereta berkenaan terjatuh ke gaung sedalam 15 meter (m).

“Difahamkan, Mohd Azmi yang memandu kereta berkenaan terperangkap di dalam kenderaan itu tetapi berjaya keluar tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Sayang Nur Basirah pula dikatakan tercampak dari kenderaan itu bersama bayi mereka.

“Isteri mangsa dikatakan tercampak kira-kira 10m dari kenderaan itu, manakala bayi dalam pangkuannya didapati hilang sebelum mereka memaklumkan perkara berkenaan kepada anggota bertugas.

“Operasi mencari bayi terbabit sukar berikutan keadaan lokasi gelap dan dipenuhi semak.

“Bagaimanapun, selepas kira-kira 15 minit mencari, kami terdengar tangisan bayi itu yang membawa kepada penemuannya kira-kira 15m dari lokasi kenderaan berkenaan terjatuh,” katanya.

Mohd Sani berkata, bayi terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, manakala ibunya cedera di bahagian kaki dan tangan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber:beritaharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *