PENJELASAN KELEBIHAN MENINGGAL PADA HARI JUMAAT YANG PERLU DIKETAHUI..!

Inilah Penjelasan Apakah terdapat kelebihan jika mati pada hari Jumaat? Sebarkan Agar Ramai Tahu…

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkenaan persoalan di atas, hari Jumaat merupakan hari yang mulia dan juga hari raya buat umat Islam. Ini kerana, pada hari tersebut diwajibkan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat di masjid secara berjemaah yang mana tidak terdapat pada hari yang lain. Selain itu juga, pada hari jumaat terdapat satu masa yang dimustajabkan doa bagi sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT. Disebabkan itu, timbul persoalan adakah terdapat kelebihan pada sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Untuk itu, kami nyatakan terlebih dahulu beberapa hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan orang yang mati pada hari Jumaat.

Matan Hadith

Berikut adalah hadith-hadith yang berkaitan dengan mati pada hari jumaat atau malam Jumaat:

Hadith Pertama: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]

Hadith Kedua: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 994]

Hadith Ketiga: Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَوْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أُجِيْرَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَجَاءَ يَوْمَ القيامةِ وَعَلَيْهِ طَابِعُ الشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid”. [Hilyah al-Awliya’, 3:181]

Hadith Keempat: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَتَهَا غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malamnya diampunkan (dosa) baginya”. [Mizan al-I’tidal, 4:299]

Hukum Hadith

Hadith yang pertama: Hukum hadith ini dihukum hasan dengan kesemua jalurnya (sanad) oleh al-Albani di dalam karyanya Ahkam al-Jana’iz. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan sanad pada hadith ini dhaif (lemah) dan syawahid yang ada untuk menyokong hadith ini adalah tidak boleh dan sesuai untuk dijadikan syawahid. Selain itu, beliau mengatakan bahawa al-Albani telah tersalah di dalam menghukum terhadap hadith ini kerana mengikut al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi. [Lihat: Musnad Ahmad, 11:150]

Hadith yang kedua: Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai Gharib (ganjil) dan sanad yang ada pada hadith ini tidak bersambung. Begitu juga, al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa pada sanad hadith ini adalah dhaif. [Lihat: Fath al-Bari, 3:253]

Hadith yang ketiga: Imam Ibn al-Qayyim menghukum hadith ini sebagai dhaif kerana padanya perawi bernama Umar bin Musa dan dia adalah seorang yang dhaif. [Lihat: al-Ruh, 81]. Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan berkaitan hadith Jabir ini, telah berkata Abu Hatim bahawa Umar bin Musa seorang yang lupa akan hadith dan juga memalsukan hadith. Selain itu, al-Daraqutni dan al-Nasa’ie menghukumnya sebagai Matruk (riwayatnya ditinggalkan). Tambahan pula, Ibn ‘Adiy mengatakan Umar bin Musa merupakan seorang yang memalsukan hadith pada matan dan juga sanad. [Lihat: Musnad Ahmad, 11:150]

Hadith yang keempat: Imam al-Zahabi menghukum riwayat (hadith) ini sebagai mungkar. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 4:299]

Tarjih

Berdasarkan hukum-hukum hadith yang kami nyatakan di atas, kami memilih dan cenderung untuk mengatakan bahawa tiada hadith yang sahih dalam menceritakan akan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Tambahan pula, kami nyatakan di sini bahawa barangsiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan bahawa orang tersebut memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Walaupun begitu, bagi yang menyatakan mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat mendapat kelebihan tertentu berdasarkan kepada beberapa syarat dan juga berdasarkan kepada mafhum nas-nas yang banyak. Antaranya ialah:

Mati dalam keadaan Islam
Mati dalam keadaan beriman
Tidak mati dalam keadaan melakukan maksiat

Walaubagaimanapun, hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيرُ يومٍ طَلَعتْ عليه الشمسُ يومَ الجُمُعةِ ، فيه خُلِقَ آدمُ ، وفِيه أُدْخِلَ الجنةَ ، وفيه أُخْرِجَ مِنها ، ولا تَقومُ الساعةُ إِلَّا في يومِ الجُمعةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1411]

Selain itu juga, hari Jumaat mempunyai satu masa yang istimewa di mana pada waktu tersebut Allah SWT akan memakbul dan memustajabkan doa hambanya yang berdoa kepada-Nya. Ini disebut di dalam hadith yang sahih, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika baginda SAW menceritakan akan hari Jumaat:

فيه ساعةٌ، لا يُوافِقُها عبدٌ مسلمٌ، وهو قائمٌ يُصلِّي، يَسأَلُ اللهَ تعالى شيئًا، إلا أعطاه إياه

Maksudnya: “Pada hari Jumaat itu ada satu masa (waktu), tidaklah seorang hamba yang muslim itu menunaikan solat lalu dia berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang dimohonkan itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 883]

Berdasarkan sebahagian hadith yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa hari Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan hari-hari yang lain.

Penutup

Kesimpulannya, kematian itu pasti bagi setiap insan yang bernyawa dan ajal itu akan datang pada bila-bila masa sahaja serta dalam keadaan tidak akan lambat atau cepat walaupun sesaat. Untuk itu, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan kita dan persediaan kita untuk bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mematikan kita dalam keadaan husnul khatimah. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *